Sunday, July 12, 2015

Sikit Tak Terurus, Banyak Bertambah Boros


DI NEGARA ORANG

Tahun 2015 ini bakal menjadi detik sejarah dalam kehidupan kami sekeluarga apabila buat julung kalinya akan menyambut Syawal di negara orang. Jika di tanahair, pastinya saya sendiri telah membuat persiapan awal khususnya membeli baju tema warna sedondon atau 'boria' yang menjadi kesukaan isteri saya. Teringat lagi semasa peringkat awal perkahwinan kami, saya sendiri tidak beberapa gemar dengan tema 'boria' ini. Namun, setelah melihat kesungguhan isteri saban tahun untuk membeli baju Melayu dan juga baju kurung untuk anak-anak yang sama warna. Maka, setelah 6 tahun usia perkahwinan barulah saya sendiri mencari baju-baju tema 'boria' ini agar tidak terpaksa berjalan jauh dan kelam-kabut mencarinya di saat-saat akhir. Jika tidak, sambutan Syawal bagi isteri saya seakan tidak lengkap dan kuranglah meriahnya kerana tidak memiliki baju tema 'boria' ini. Kini, apabila berada di negara orang tiada lagi istilah sedondon atau 'boria'. Pakailah seadanya apa yang dibawa pada tahun lepas. Saya pasti isteri saya akan menerimanya kerana menyedari di mana "bumi dipijak, di situ langit dijunjung".

MENJELANG SYAWAL 

Pastinya banyak pengaliran keluar duit bagi meraikan hari lebaran ini. Sebagai contoh, persiapan membeli baju raya, servis dan tukar apa yang patut bagi memastikan kenderaan selamat digunakan, duit raya untuk ahli keluarga dan sanak saudara, pembelian kuih-kuih raya, budget kos perjalanan seperti tol dan minyak serta pelbagai lagi persiapan yang memerlukan belanja yang besar. Sudah pasti pengaliran keluar duit ini berkadar langsung dengan bilangan ahli keluarga dan cara seseorang itu berbelanja. 

LUCU 

Namun, kadangkala terasa lucu apabila membaca post-post di facebook dalam menyambut Syawal yang bakal tiba beberapa hari lagi. Pelbagai ragam boleh dilihat di facebook dalam mengambarkan suasana persediaan menyambut hari lebaran. Ada yang upload status fb semasa di kedai kereta kerana 'bosan' menunggu mengantikan sport rim yang lebih bergayaTerlihat juga post yang menzahirkan rasa kesyukuran kerana kereta model baru untuk perjalanan pulang ke kampung telah tiba. Tak ketinggalan juga ada yang upload beberapa gambar koleksi baju pilihan untuk digayakan di hari lebaran. Begitu juga tema suasana raya dengan perabot serba baru bagi menyambut tetamu yang bakal kunjung tiba. 

KERJA KERAS

Bagi memastikan kesemua keperluan dan kemahuan ini dapat dipenuhi, ramai yang sanggup bekerja keras sehingga lewat malam untuk mendapatkan pendapatan tambahan. Bagi mereka yang berniaga, di kala bulan Ramadhan yang masih berbaki inilah ada yang sibuk membuat pecutan terakhir untuk memenuhi permintaan dan tempahan para pelanggan. Manakala bagi yang makan gaji, sudah pasti gaji awal daripada majikan sungguh melegakan mereka. Namun diharapkan agar tidak ada di kalangan kita yang sedih dan tertekan selepas 'cuti raya' berlalu kerana memikirkan poket dan duit di bank yang semakin 'tenat'. Mana taknya, gaji awal yang diterima telah habis digunakan. Duit jualan dan keuntungan berniaga pula tidak tahu dimana dibelanjakan. Atas sebab itulah saya bersetuju bahawa dalam asas pengurusan kewangan bukanlah berapa banyak duit yang 'masuk' menjadi keutamaan. Namun, yang lebih penting bagaimana duit diurus dan dibelanjakan. Jika duit yang sikit tak terurus, dikhuatiri bila banyak bertambah boros.

BERINGAT

Sentiasa ingatkan diri sememangnya keriangan menyambut hari raya itu penting khususnya bagi meraikan Syawal di atas kemenangan mengharungi medan Ramadhan selama sebulan. Namun, perlu juga beringat bahawa kegembiraan selepas menyambut hari raya juga penting terutamanya selepas cuti raya yang panjang. Kelangsungan hidup dan keperluan duit selepas hari raya masih tetap diperlukan. Bagi mereka yang bekerja makan gaji khususnya penjawat awam diharapkan tidak tertekan menanti gaji yang hanya akan masuk pada 25 Ogos 2015 kelak. Isu gaji awal pernah saya kongsikan sebelum ini di 5 STRATEGI 'RAYA SELEPAS RAYA'. Semoga ia bermanfaat.

Akhir kata, dikesempatan ini salam kemaafan kami hulurkan dan selamat menyambut hari lebaran yang bakal tiba. Salam perantau dari kami di Sendai, Jepun. 

Related Posts

Sikit Tak Terurus, Banyak Bertambah Boros
4 / 5
Oleh

Perkongsian Akan Datang

Anda Suka 'Post' Ini? Anda Akan Lebih Suka 'Post' Yang Akan Datang:).

Menarik Lagi Tertarik! × +

2 comments

Write comments
avatar
Rijal
July 14, 2015 at 12:15 PM

Terima kasih En. Isma atas perkongsian yang tidak pernah jemu. Saya suka tajuk ini "Sikit Tak Terurus, Banyak Bertambah Boros".

Reply
avatar
July 16, 2015 at 10:53 AM

Terima kasih juga En. Rijal kerana sudi singgah di blog saya. Semoga perkongsian tersebut memberikan manfaat.

Reply

Tudung kanak-kanak